Congratulation, Shweta Sekhon dinobatkan pemenang Miss Universe Malaysia 2019



Baru-baru ini, pertandingan Miss Universe Malaysia 2019 telah dijalankan dan para juri serta orang ramai telah bersetuju untuk memilih Shweta Sekhon sebagai pemenangnya sekali gus melayakkan dirinya untuk mewakili Malaysia ke acara Miss Universe yang-68 nanti.

Kemenangan Shweta Sekhon atau nama sebenarnya Shwetajeet Kaur, 22 tahun dalam pertandingan Miss Universe Malaysia yang diadakan di Hotel Majestic pada 7 Mac lalu telah menjadikan beliau sebagai salah seorang duta yang terinspirasi untuk mempromosikan feminisme atau kuasa wanita.



missuniversemalaysia/Instagram

Acara yang gilang-gemilang ini turut menjemput Miss Universe Malaysia 2018 iaitu Jane Teoh bagi menyerahkan takhta dan memakaikan selendang kepada Shweta dan juga para pemenang di tempat kedua; Frost Yaw Hui Jing, tempat ketiga; Tessminderjit Kaur dan tempat keempat; Lee Su Hsien.

Dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2019 pada hari yang sama sambutan Hari Wanita Sedunia, gadis berketurunan Punjabi ini bercadang untuk mengetengahkan isu kewanitaan dan juga keyakinan diri dalam pertandingan Miss Universe akan datang.

“Terdapat ramai wanita di luar sana yang tidak berasa yakin tentang diri sendiri. Jadi, saya mahu menjadi ikon dan memberitahu mereka untuk terus menghargai diri sendiri. Yakin dengan siapa diri anda,” kata Shweta dalam sidang media di Hotel Majestic.

Sementara itu menerusi perkongsian di laman Instagram beliau sendiri, Shweta telah memuat naik gambar kemenangannya dengan kapsyen:

“Mimpi menjadi kenyataan. Memakai mahkota ratu. Menjadi ratu. Andalah ratu!”

Pertandingan Miss Universe 2019 edisi ke-68 dilaporkan akan berlangsung di Korea Selatan dan majoriti rakyat Malaysia amat teruja untuk melihat kehebatan Shweta dalam pertandingan tersebut.

Diharap Shweta akan dapat melakukan yang terbaik sekali gus membanggakan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokongnya.